Tuesday, March 2, 2010

Semoga impian akan menjadi kenyataan.

Saya mengaku sebelum ini saya tidak menjadikan tabiat solat berjemaah di surau atau masjid sebagai satu amalan biasa. Walau bagaimana pun saya telah mengubah tabiat ini sebaik sahaja pulang dari mengerjakan Haji.

Di Makkah dan Madinah muslimin dari seluruh dunia sanggup berjalan kaki sehingga berkilometer jauhnya dari hotel-hotel mereka untuk bersolat berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Oleh itu kenapa tidak saya pergi ke surau yang letaknya cuma beberapa meter dari rumah saya?

Selama ini jemaah surau di taman perumahan saya menyewa sebuah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan surau sementara. Syukur juga pemaju taman perumahan kami telah merezabkan satu tapak untuk menempatkan satu surau kekal. Tapak surau ini adalah amat strategik kerana terletak betul-betul di tengah-tengah taman.

Jawatankuasa taman dan surau telah berusaha supaya pihak kerajaan dapat menampung perbelanjaan membina surau kami. Di samping itu pungutan-pungutan derma juga dibuat berterusan dan semasa aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh taman dan surau.

Pungutan derma juga dilakukan secara 'professional'. Maksud 'professional' di sini ialah kami melantik beberapa orang untuk memungut derma dengan setiap penderma diberi resit. Kutipan akan dibahagi dua antara pemungut derma 'professional' dengan pihak surau. Di sinilah resit membantu pembahagian pungutan.

Bukan calang-calang orang yang sanggup menjadi pemungut derma 'professional' ini. Saya perhatikan pemungut derma kami terdari dari penduduk bukan dari Negeri Sembilan. Mereka menunggu di tempat-tempat tumpuan awam seperti bank dan lain-lain.

Walau bagaimana pun selama ini tidak ada kepastian dari pihak kerajaan bahawa surau kami akan didirikan. Macam-macam cerita yang saya dengar.

Saya sendiri pernah menerima panggilan telefon lebih kurang begini "Saya dengar penduduk taman tuan masih tak cukup duit nak bina surau. Berapa banyak nak? Saya boleh jumpa ...... untuk dapatkannya". Saya terus jawab "Kalau nak tahu dan nak tolong sila datang ka surau dan kita boleh bincang". Saya tidak lagi menerima panggilan telefon darinya.

Walau bagaimana pun pagi tadi nampaknya ada tindakan positif. Unit Pelaksanaan Pembangunan atau ICU, Jabatan Perdana Menteri membawa sejumlah 65 orang kontraktor untuk lawatan tapak ke projek surau taman kami. Apa yang saya dengar (saya bukan pihak berkuasa, oleh itu tidak berani bertanya berlebihan) pembinaan surau akan dimulakan dalam bulan ini juga dan kalau tidak ada aral melintang ia akan siap dalam tempoh dua bulan.

Nampaknya impian semua penduduk taman perumahan saya akan menjadi kenyataan. Insya Allah kami akan dapat bersolat jemaah dan menjalankan aktiviti-aktiviti surau dalam keadaan yang lebih selesa.


Inilah tapaknya. Sebelah sana tu taman permainan kanak-kanak. Nampak ada trek untuk jogging.


Terdapat kolam tebatan banjir di sebelah surau. Sebelum solat boleh juga menenangkan fikiran melihat air kolam. Kolam ini juga memisahkan rumah saya di seberang sana dengan surau.

Kenderaan Proton Waja ICU. ICU disini bermaksud 'Implementation Coordination Unit' dan bukan 'Intensive Care Unit'.


Para kontraktor beratur untuk mendapatkan dokumen spesifikasi surau. Seorang dari mereka akan berjaya mendapatkan tender untuk membina surau kami.



Serang pegawai ICU bertemu dengan beberapa orang penduduk taman. Hari ini hari bekerja, oleh itu tidak ramai penduduk yang keluar.



Setiap kontraktor menurunkan tanda tangan serta cop sebagai bukti menerima dokumen spesifikasi. Berasaskan kepada spesifikasi, kontraktor yang berminat akan mengemukakan tender mereka.


Tapak surau dipenuhi para kontraktor.


Dari sudut lain. Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) berada di belakang bukit itu.


Pegawai-pegawai ICU memberi taklimat kepada para kontraktor. Perhatikan trek jogging di belakang itu.


Kontraktor-kontraktor mendengar taklimat.


Antara rumah-rumah itu ialah rumah saya. Ini bermakna apabila siap nanti surau ini akan berada dalam pandangan saya tiap kali saya keluar rumah.

No comments: