Tuesday, February 24, 2009

Pengalaman sebagai pegawai SPR - Bahagian 1

Oleh kerana negara kita akan menghadapi tiga dan mungkin empat pilihanraya kecil saya ceritakan disini pengalaman saya menjadi pegawai Suruhanjaya Pilihanraya atau lebih dikenali sebagai SPR.




Pilihanraya Umum (PRU) tahun 1978.


Pengalaman pertama saya ialah pada tahun 1978. Entah macam mana saya mendapat surat dari Pegawai Daerah Seremban mengatakan saya dilantik menjadi seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM). Beliau sendiri telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus atau Returning Officer (RO). Saya tidak melobi pun tetapi agaknya nama saya diambil dari senarai kedatangan mesyuarat di Pejabat Daerah Seremban. Di waktu itu saya sering mewakili Jabatan saya di mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (DO) Seremban.

Yang peliknya di masa itu saya belum pernah mengundi lagi walau pun sudah mendaftar. Jadi ini merupakan pengalaman pertama saya dalam proses pilihanraya di Malaysia. Di PRU ini saya masih didaftar di kampung saya di Jelebu. Kerana saya seorang pegawai SPR sepatutnya juga saya mengundi secara pos.

Tetapi malang bagi saya kerana di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di mana saya sepatutnya mengundi tidak ada pertandingan. Dato' Rais Yatim menang tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri kawasan Pertang dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Saya lupa siapa yang menang tanpa bertanding di Parlimen Jelebu. Jadi melepaslah peluang saya untuk mengundi untuk kali pertama walau pun secara pos.

Kerana ini ialah pengalaman pertama saya dalam proses pilihanraya saya merasa cemas juga. Dari itu saya mendengar ceramah secara teliti dan membaca setiap nota buku yang dibekalkan. Pusat mengundi saya ialah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Kg. Baru Rasah.

Selepas Subuh pada hari mengundi saya telah pergi ke Pejabat Daerah Seremban untuk mendapatkan peti-peti undi. Setelah menerimanya langkah seterusnya ialah mencari anggota Polis yang akan mengiringi saya ke pusat mengundi dan akhirnya mencari bilik mengundi saya.

Ketua pasukan Polis yang berpangkat Inspektor telah memanggil beberapa kali nama anggota Polis yang sepatutnya mengiringi saya. Tak ada jawapan. Saya mula panik. Kemudian beliau melihat senarai lagi dan mendapati anggota Polis ini sudah ditanda 'hadir' dan 'keluar'. Tetapi kemana dia pergi?

Tanya punya tanya akhirnya kami diberi tahu anggota Polis saya telah mengikuti seorang KTM saluran lain di pusat mengundi yang sama dengan saya. Ini bermakna KTM tersebut telah membawa dua orang anggota Polis.

Saya dapati perkara ini bukan terjadi kepada saya seorang. Ada seorang lagi KTM yang ditinggal oleh anggota Polisnya. KTM ini kemudiannya saya lihat pergi kesaorangan tanpa anggota Polisnya. Mungkin dia sudah berpengalaman.

Tetapi saya nyatakan kepada Inspektor tadi saya tidak berani pergi tanpa Polis. Lebih-lebih lagi saya tiada pengalaman. Kalau peti undi saya kena culik siapa nak jawab. Inspektor tadi, seorang berbangsa India tetapi berkulit cerah meminta saya menunggu sehingga semua KTM lain beredar.

Sebaik sahaja semua KTM lain beredar Inspektor tadi meminta saya masuk ke kereta. Dia sendiri akan iringi saya dengan kereta Polis katanya.

Jadi saya diringi dengan kereta Polis jenama Alfa-Romeo yang dipandu sendiri oleh Inspektor tadi dari Pejabat Daerah Seremban ke Kg. Baru Rasah. Alangkah seronok jika dia pasang siren. Tapi tidak. Inspektor ini sekarang telah meninggalkan perkhidmatan Polis untuk menjadi seorang peguam.

Sampai sahaja di pusat mengundi saya lihat anggota Polis dan kerani-kerani saya sudah sedia menunggu. Saya sempat bertanya kepada anggota Polis ini mengapa dia tidak menunggu saya. Jawapannya ialah dia tidak diberi arahan spesifik untuk menunggu saya. Dia cuma di arah bertugas di pusat mengundi Kg. Baru Rasah dengan mengikuti Ketua Tempat Mengundi ke sana. Saluran mana dan siapa KTM beliau tidak tahu.

Pengundian berjalan tanpa apa-apa perkara tidak diingini berlaku. Tetapi disini juga saya mengalami memangkah kertas undi buat kali pertama. Seperti biasa terdapat pengundi kurang upaya seperti yang buta dan sebagainya. Bagi pengundi seperti ini saya sebagai KTM diberi kuasa memangkah kertas undi untuk mereka setelah menanyakan calon mana yang mereka pilih. Tetapi saya telah menjalankan tugas ini dengan jujur.

Di masa itu semua kertas undi yang telah digunakan dikira di pusat pengiraan undi. Dalam kes saya pusatnya ialah Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Saya pun membawa peti-peti undi dengan di iringi anggota Polis saya setelah proses pengundian selesai.

Walau pun saya cuba untuk tidak membuat kesilapan saya membuatnya juga. Sepatutnya saya menunggu sehingga peti-peti undi saya dibuka untuk memastikan jumlah kertas undi tidak melebihi seperti yang dicatit dalam borang yang saya serahkan. Saya tidak sedar tentang perkara ini dan terus balik ke rumah selepas menyerahkan peti-peti undi.

Menurut kawan-kawan saya nama saya telah dipanggil beberapa kali di pembesar suara untuk tujuan di atas. Akhirnya seorang KTM lain diminta mengesahkan bilangan kertas undi dalam peti-peti saya. Peraturannya senang sahaja. Kertas undi dalam peti biar kurang dari yang dikeluarkan, tetapi jangan lebih. Ada pengundi walau pun diberi kertas undi tidak menggunakannya kerana sebab-sebab yang cuma dia yang tahu.

Nasib baiklah peti undi saya teratur. Jika tidak kenalah mereka menjemput saya di rumah kerana di masa itu saya tidak ada telefon rumah. Telefon bimbit belum dicipta lagi.

Setelah pengalaman pertama itu saya pun mengubah tempat daftar mengundi saya dari Jelebu ke Seremban. Saya mula-mula mengundi bagi pihak diri saya sendiri pada tahun 1982. Saya tidak dipanggil lagi untuk menjadi pegawai SPR hinggalah tahun 1990.



Pilihanraya Umum 1990.

Boss saya telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Pengurus atau Assistant Returning Officer (ARO) pada PRU 1990. Untuk menyenangkan kerja dia kemudian melantik pegawai-pegawai bawahannya untuk menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Kerani Undi. Di samping itu dia juga melantik guru-guru menjadi KTM sekali untuk tujuan menolongnya kerana sekolah-sekolah dijadikan pusat mengundi.

Saya pun terus menawarkan diri saya untuk menjadi KTM kerana saya berpangalaman, kata saya. Tapi boss saya terus menolak. Katanya dia nak gunakan saya lebih dari itu. Dia lantik saya sebagai Pembantu Pilihanraya, satu jawatan yang lebih tinggi dari KTM.

Seorang KTM cuma bertugas semasa Hari Pilihanraya. Tetapi seorang Pembantu Pilihanraya bertugas dari hari writ pilihanraya dikeluarkan sehingga keputusan diumumkan. Antara tugas saya ialah memastikan akta-akta dan borang-borang pilihanraya cukup dan dibekalkan kepada setiap KTM. Apablia kertas undi tiba dari pusat percetakan saya pula membahagikannya ke dalam peti-peti undi.

Boleh dikatakan setiap malam saya berada di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seremban untuk mengisi dan mengecop borang-borang dan sebagainya. Saya juga berinteraksi dengan calon-calon dan agen-agen mereka dan membekalkan mereka dengan borang-borang pilihanraya, lencana dan lain-lain.

Saya juga mengaturkan permohonan kertas undi pos untuk ARO (boss saya), KTM dan kerani-kerani saya. Untuk lebih menyenangkan tugas ini saya telah pergi beberapa kali ke pejabat SPR Negeri Sembilan untuk mendapatkan butir-butir tempat mengundi pegawai-pegawai saya. Untuk tujuan ini saya dibenarkan untuk mengguna komputer mereka.

Hasilnya boss saya, semua KTM dan kerani saya yang berdaftar dapat mengundi secara pos dalam masa yang ditetapkan. Ini berbanding dengan KTM dan kerani di bawah ARO lain. Ramai di antara mereka tidak sempat mengundi secara pos kerana Pembantu-Pembantu Pilihanraya mengharapkan pertolongan kakitangan tetap SPR semata-mata.

Saya dengan sengaja tidak mengisi borang undi pos untuk diri saya sendiri. Tujuan saya semata-mata kerana saya hendak mengundi sendiri di pusat mengundi. Apabila boss saya tahu tentang ini dia terus berkata "Pandai kau ya, kalau aku tahu aku pun tak hendak isi borang undi pos".

Satu dari pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah melihat sendiri proses penamaan calon. Bilik Gerakan Pejabat Daerah yang sebelum ini dipenuhi dengan peralatan pilihanraya dikemaskan seketika untuk proses penamaan calon.

Saya dan boss saya menyemak tiap-tiap borang pencalonan sebelum diserahkan kepada Pegawai Pengurus (RO) iaitu Pegawai Daerah (DO) sendiri. Segala bantahan dirujuk melalui telefon kepada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum keputusan diambil. RO telah menolak segala bantahan.

Di hari mengundi saya telah sampai awal-awal di Pejabat Daerah Seremban untuk menolong boss saya menyerahkan peti-peti undi kepada semua KTM. Kami juga memastikan setiap KTM diiringi oleh seorang anggota Polis.

Saya dah merancang awal-awal hendak mengundi di tempat mengundi kerana saya tahu selepas menyerahkan peti-peti undi kepada KTM tugas saya selesai sementara menunggu peti-peti undi dikembalikan di pusat penjumlahan undi.

Sebagai seorang pegawai SPR saya juga boleh diberi keutamaan mengundi dahulu. Tetapi saya tak mahu. Saya pun beratur seperti biasa sebelum masuk ke bilik undi kerana saya ingin merasai pengalaman sebenar mengundi.

Selepas mengundi ARO atau boss saya mengajak saya melawat pusat-pusat mengundi. Pada petangnya saya berada di Dewan Perbandaran Seremban untuk menerima peti-peti undi. Di masa itu SPR belum lagi menggunakan Power Point atau Excell. Jadi penjumlahan undi dibuat menggunakan kalkulator sahaja. Saya ada komputer di pejabat yang mempunyai program Lotus 123. Menyesal rasanya saya tidak bawa komputer ini ke Dewan. Kalau ada komputer boleh senang sedikit kerja saya.

Saya hanya dibenarkan balik ke rumah setelah semua keputusan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di bawah jagaan Pegawai Pengurus saya diisytihar oleh beliau sendiri.

Bersambung ke Bahagian 2...

No comments: