Monday, November 24, 2008

Bila penceramah tidak membuktikan fakta.

Saya tertarik dengan pos ini dari seorang penulis blog yang sama-sama menjadi ahli Muslim Bloggers Alliance seperti ini http://pukullima.blogspot.com/2008/11/cane-for-wife.html. Ini mengingatkan saya kepada pengalaman saya beberapa tahun dulu.

Rumah saya dahulu cuma terletak lebih kurang seratus meter dari sebuah surau sementara. Sekarang surau itu suah ditutup oleh kerana sebuah masjid qariah telah dibina di kawasan perumahan ini.

Oleh kerana jarak yang dekat biasanya saya akan balik ke rumah selepas solat Maghrib dan datang semula untuk solat Isya'. Saya akan menunggu hanya jika ada apa-apa ceramah yang ingin saya dengar.

Pada suatu hari apabila saya datang semula ke surau untuk solat Isya' saya dapati seorang penceramah sedang berada di penghujung ceramahnya. Saya juga dapat menangkap apakah yang diceramahkannya. Yang diceramahkannya ialah 'Kelebihan Hari Jumaat'.

Beliau menghabiskan ceramahnya dengan ayat-ayat berikut: "Itulah kita disini cuti Hari Ahad, jadi kita nikah pun Hari Ahad. Tidak macam negeri (saya tak mahu sebut nama negerinya) yang cuti Hari Jumaat. Jadi mereka nikah pada Hari Jumaat. Oleh itu nikah mereka lagi berkat".

Macam mana nak diukur sama ada nikah tu lebih berkat atau tidak? Bagi saya yang kurang arif dalam agama ini senang sahaja. Kalau nikah tu tak berakhir dengan perceraian berkatlah ia. Kalau bercerai tak berkatlah.
Saya dinikahkan pada Hari Sabtu. Sampai sekarang saya mempunya isteri yang seorang itulah. Oleh kerana tidak ada tanda-tanda yang kami akan bercerai saya fikir pernikahan kami mendapat berkat.

Tetapi di negeri yang cuti Hari Jumaat itu saya sendiri telah terbaca statistik yang menunjukkan kadar percerainya lebih tinggi dari negeri saya Negeri Sembilan Darul Khusus. Macam mana pula penceramah itu mengatakan pernikahan dalam negeri itu lebih berkat dari negeri saya. Tidak tahulah saya jika cerai berai tidak termasuk dalam pengukuran berkat atau tidak satu pernikahan itu.

Tetapi jika cerai berai termasuk dalam ukuran berkat atau tidaknya perkahwinan ini menjadi contoh di mana penceramah-penceramah agama tidak meneliti fakta-fakta sebelum menyampakian ceramahnya. Saya tidak mempertikaikan kelebihan Hari Jumaat tetapi kalau sesiapa hendak membuktikannya buktikanlah dengan bukti-bukti yang nyata.

Malangnya kebiasaan ceramah adalah berbentuk monolog dan bukan dialog. Oleh itu pendengar tidak diberi peluang untuk menanyakan adakah penceramah mempunyai bukti terhadap komen tambahan mereka. Jika pendengar terdiri dari golongan yang intelek dan sering membaca bahan-bahan dari akhbar, majalah atau internet tak apa juga. Kata orang masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Yang membahayakan ialah jika pendengar terdiri dari yang mentah fikiran. Mereka akan menganggap apa yang diceramahkan oleh penceramah adalah benar belaka. Jika penceramah mendedah satu yang dikatakan tidak betul golongan pendengar ini akan terasa bertanggung jawab untuk membetulkannya.

1 comment:

Anonymous said...

tabik kepada saudara maarof - saudara pakai otak, dia orang pakai kelentong.

ada banyak hal di dunia ini yang mana kita boleh membongkar kelentongnya dengan membuat sedikit kiraan asas. Tak susah. Malangnya terlalu banyak yang hanya mendengar dan menerima tanpa berfikir (malas berfikir).

Sekarang sudah banyak orang yang pandai berselindung di belakang imej kewarakan, dan cuma mengambil kesempatan untuk menipu. Saya kasihani mereka yang tak mampu berfikir secara rasional. Mereka terlalu naif dan selalu menjadi mangsa penipuan.