Tuesday, June 10, 2008

Naik 'Terror ride'

Saya lupa tahunnya tetapi yang pasti di masa itu Seremban belum mempunyai hotel-hotel besar Klana Resort (dulu Allson Klana Resort) dan Royale Bintang (dulu Hilton dan Royal Adelphi). Ada dua orang VIP luar negara yang menerima pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Oleh kerana masalah ketiadaan tempat tinggal yang sesuai mereka ditempatkan di Hotel Regent, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Mereka ialah Azwar Anas, semasa itu menjadi Menteri Pengangkutan Indonesia dan Hassan Basri mantan Governor Sumatera Barat.

Saya dan kawan saya Najib (sekarang Haji) ditugaskan untuk menemani kedua-dua VIP ini yang juga membawa isteri masing dan rombongan kebudayaan dari Indonesia termasuk penyanyi Hetty Koes Endang. Tugas pertama kami ialah menunggu VIPs ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (KUL). Kami merasa lega juga apabila mendapati Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah menyediakan dua kereta Mercedes-Benz 300D beserta pemandu untuk digunakan oleh VIPs ini. Seorang pemandu berumur empat puluhan dan saya lupa namanya. Beliau ini banyak cakap sedikit dan kaki temberang juga. Manakala yang seorang lagi bernama Zainuddin, berumur tiga puluhan, bersifat 'cool' dan kurang bercakap. Saya dan Najib diberi sebuah bilik di hotel berkenaan. Beberapa bilik lagi disediakan untuk pemandu dan anggota Polis Trafik yang mendahulu rombongan kami.


Najib keletihan setelah melayan tetamunya.


Najib memeriksa injin kereta Mercedes 300 bersama-sama seorang tetamu Indonesia (berpakain kelabu) dan pemandu Wisma Putra.

Tugas seterusnya ialah membawa VIPs ke Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk menerima anugerah mereka. Saya menemani Governor kerana telah mengenali beliau sebelum ini dan Najib menemani Menteri. Kami duduk di sebelah pemandu manaka VIPs dan isteri duduk di belakang. Seronok juga kerana didahului oleh Polis Trafik dengan kereta dan motosikal mereka. Saat-saat yang paling menggembirakan ialah apabila melanggar lampu perah. Walau bagaimana pun Polis Trafik memandu mengikut had laju. Di lebuhraya mereka membawa kami dengan kelajuan 110 km sejam. Oleh itu seronok juga melihat kenderaan-kenderaan lain tidak berani memotong kami kerana melihat ada kenderaan polis di hadapan.

Di istana juga saya terserempak dengan penerima-penerima pingat lain. Di antaranya ialah yang saya kenali sebagai penyangak di Seremban. Di sini para penyangak ini menerima pingat. Bila saya tanya bukan sebarang pingat yang mereka dapat. Antaranya ialah PMC dan ANS. Setakat PJK tu tak main lah atau mereka dah dapat dulu. Dari itu juga saya membuat keputusan tidak akan menerima apa-apa pencalunan untuk pingat dari istana Negeri Sembilan. Oleh itu segala borang-borang pencalunan yang dihantar kepada saya saya buang ke dalam tong sampah.

Di hari ketiga saya menemani Pak Menteri untuk melawat Pelabuhan Kelang. Beliau disambut oleh Dato' Michael Chen (mendiang) yang menjadi Pengerusi Pelabuhan Kelang semasa itu. Najib tidak ikut sama dan beliau menemani Governor dan isteri untuk membeli belah di Kuala Lumpur.

Tugas akhir kami ialah membawa VIPs untuk jamuan makan malam dan tari menari di Istana yang sama. Dalam perjalanan Governor memberitahu saya beliau bercadang untuk makan malam sahaja. Beliau tidak mahu tinggal untuk tari menari, itu pun jika mendapat perkenan DYMM Tuanku. Saya pun mengarahkan pemandu meletak kereta di tempat yang senang keluar nanti. Saya juga memberitahu pegawai Istana di mana boleh menghubungi saya apabila saja Governor dapat perkenan Tuanku.

Di istana ada tiga tempat makan disediakan. Para VIP ditempatkan di khemah utama. Khemah kedua ialah untuk pegawai-pegawai dan saya dan Najib pun memasuki kemah ini. Khemah yang ketiga ialah untuk anggota polis, pemandu dan 'body-guards'.

Sementara menunggu boss-boss mereka yang terdiri dari Raja-raja dan anak raja dari negeri lain, para Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Malaysia, para diplomat dan VIPs yang lain pemandu-pemandu dan bodyguards yang siap berpakaian seragam masing-masing asyik berjudi. Ini dilakukan tanpa segan silu di hadapan anggota polis yang bertugas di istana. Dalam istana pula botol-botol arak bersedia untuk dibuka apabila pesta tari menari bermula.

Tiba masanya seorang pegawai istana datang memberitahu saya bahawa Governor telah diperkenan Tuanku untuk beredar awal. Governor juga tidak memerlukan polis trafik untuk mengirinya pulang.

Oleh kerana keadaan gelap menjadi masalah juga bagi saya untuk mencari pemandu dan anggota polis trafik saya. Kebanyakan pemandu pula asyik dengan perjudian mereka. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mengangkat tangan saya di kalangan pemandu tersebut. Tiba-tiba sahaja kedua-dua pemandu saya datang entah dari sudut mana. Tetapi yang jelas mereka tidak berjudi. Saya arahkan Zainuddin untuk mendapatkan kereta sambil memberitahunya polis trafik tidak diperlukan. "Lagi bagus" katanya yang memeranjatkan saya juga. Saya juga meminta Najib untuk mengaturkan kepulangan Pak Menteri di akhir acara tari menari nanti.

Walau pun tidak didahului polis trafik Zainuddin membawa Mercedes dengan cukup baik. Di belakang saya terdengar Governor bercakap dengan isterinya lebih kurang "dia tu ketua agama di negeri ini, mengapa dibenarkan (judi, tari menari, minum arak) disitu?". Apabila tiba di Plaza Tol Senawang Zainuddin tidak mengambil tiket toll tetapi hanya menyebut "Tetamu negara" kepada kakitangan tol. Begitu juga keadaannya di Plaza Tol Sungai Besi.

Apabila sahaja kereta memasuki lebuhraya Zainuddin telah menekan pedal minyak kereta ke taraf maksimum dan kereta pun melompat kehadapan. Sampai sahaja ke kawasan Plaza Tol Rasah bacaan di speedometer ialah 140 kmph. Saya nampak meter RPM naik turun dengan cepatnya selari dengan penukaran giar secara otomatik. Barulah saya sedar mengapa Zainuddin menyebut "Lagi bagus" apabila diberitahu polis trafik tidak bersama kami.

Saya menjeling speedometer dari masa ke semasa dan saya lihat Zainuddin telah memandu hingga kelajuan 170 kmph. Purata kelajuan ialah 140 kmph. Hati saya berbelah bagi sama ada hendak menegur Zainuddin atau tidak. Saya cuma bimbang jika Mercedes ini perlu membuat brek kecemasan. Kemana perginya? Ke kiri, ke kanan atau melanggar kenderaan di hadapan? Akhirnya berhampiran Nilai Zainuddin terpaksa memberek kecemasan juga dan kereta Mercedes ini hanya meluncur dengan selamat dengar sedikit bunyi dari tayar. Nyatalah ABS (Anti-locking Braking System) kereta ini berfungsi dengan baik. Jadi saya pun merasa lega. Kami tiba di Hotel Regent dengan selamat. Kawan saya Najib hanya balik jam 2 pagi.

Tugas kami yang terakhir ialah menghantar VIPs dan rombongan ke Lapangan Terbang Subang untuk mereka kembali ke Indonesia. Lepas itu saya dan Najib bersalaman pula dengan pemandu-pemandu kami untuk beberapa hari itu sambil mengucapkan terima kasih dan selamat berjumpa kembali (tak jumpa pun). Di situ juga Zainuddin bertanya kepada saya kenapa saya tidak menegurnya apabila memandu laju pada malam itu. Saya hanya menjawab "buat apa saya tegur, sebab you cekap bawa kereta".

1 comment:

Anonymous said...

really interesting insight.

so, since I am a 160km/h average driver, all I need now is a 3 litre Merc or BMW with ABS and tranction control....